11 April 2011

Dehearty - Bidadari Hidupku

Perasaan lahir dari sebuah pertemuan
Berputik rindu di hati yang amat mendalam
Mekar menyinar seluruh alam kehidupan
Segar sentiasa ia dalam ingatan

Cinta yang ku lafaz bukanlah cinta gurauan
Kasih yang ku damba bukanlah kasih igauan
Seikhlas hati kusemaikan benih kasih sayang
Moga kekal menyinar dalam keredhaan

Kau umpama
Mutiara di tengah lautan
Bak bidadari yang menghiasi hidupku 
Bersama kasih sayangmu

Hadirlah kasihmu sentiasa dalam hidupku
Mekar bersama ikatan penuh keikhlasan
Moga harumannya kan kekal bersama keimanan
Menyegari ruangan hati kesyahduan

Kudambakan padamu sebuah kasih dan sayang
Yang lahir dari hati yang penuh ketulusan
Doaku agar Tuhan memberkati cinta kita
Disinari kehidupan dengan rahmat-Nya

Isteriku,kaulah bidadariku 
Hadirlah bersamaku di setiap waktu
Ku janjikan setiaku hanya untukmu
Dan kasihku hanya padamu
Oh isteriku........


putripuzzle : let me be me

08 April 2011

Gerbang Cinta

SENARAI SEMAK UNTUK MAJLIS ANDA

MERISIK:
Pihak lelaki yang ingin melamar dan merisik si gadis pilihan, mereka perlulah memastikan perkara-perkara berikut di bawa bersama. Antaranya ialah:

Cincin belah rotan. (cincin tanda)
Wang tanda (hantaran)
Baju sepasang atau kain
Buah-buahan
Kuih-muih

·          Menentukan siapakah yang akan menjadi wakil anda. (ibu bapa atau ibu bapa saudara)
·          Wakil pihak lelaki tersebut perlulah bertanya kepada ibu bapa si perempuan sama ada anak gadisnya itu telah mempunyai teman atau tidak.
·          Jika tidak, maka wakil pihak lelaki perlulah menyatakan hajat untuk melamar si gadis.
·          Jika ibu bapa si gadis telah bersetuju, maka cincin tanda dan lain-lain barang iringan seperti wang tanda, kain, buah-buahan dan kuih-muih diberikan.
·          Jika mereka menerima barang-barang yang diberikan, maka secara tidak langsung, si gadis telahpun bersetuju untuk melayari hidup bersama lelaki tersebut.
·          Wakil pihak lelaki berbincang tentang wang hantaran.
·          Menetapkan hari untuk melangsungkan majlis pertunangan.

PADA HARI PERTUNANGAN:
Cincin berlian
Sirih junjung
Lain-lain hantaran (separuh dari wang hantaran, sepasang baju, buah-buahan, kasut, kek, dan lain-lain) bergantung kepada apa yang telah anda rancangkan.)
Wakil pihak lelaki (ibu atau ibu saudara) yang akan menyarungkan cincin kepada si gadis.

MALAM BERINAI:
Minta bantuan dari ahli keluarga dan sanak saudara untuk menginaikan anda.
Jika ingin mengenakan henna, pastikan anda telah menempah mereka yang pakar dalam hal sedemikian sebulan sebelum majlis malam berinai anda.

Berikut adalah senarai semak untuk majlis perkahwinan atau persandingan. Sebaik sahaja kedua-dua belah keluarga telah menetapkan hari persandingan, maka perkara-perkara di bawah boleh dijadikan landasan dalam memastikan kelancaran majlis perkahwinan anda.

LAPAN - ENAM BULAN SEBELUM perkahwinan:
Bakal pengantin lelaki dan perempuan perlulah berbincang terlebih dahulu tentang beberapa perkara seperti berikut:

Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
·          Berbincang hal-hal perkahwinan (adat perkahwinan) dengan ibu bapa dari kedua-dua belah pihak bakal pengantin.
·          Menentukan perbelanjaan yang akan dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak pengantin untuk majlis perkahwinan tersebut.
·          Menentukan konsep majlis perkahwinan (hantaran, pelamin, bilik tidur dan lain-lain hiasan) yang anda ingini.(Majlis di hotel atau taman.)
·          Rujuk direktori perkhidmatan perkahwinan (jurusolek, koleksi pakaian pengantin, bunga, kad jemputan perkahwinan dan lain-lain) di majalah, internet, buku atau melalui rakan-rakan yang telah berkahwin bagi mendapatkan gambaran awal.
·          Mengenalpasti baju pengantin serta tetapkan bilangan pakaian persalinan yang diingini. (bagi yang bertudung, pastikan anda memilih pakaian yang disediakan sekali dengan pakaiannya)
·          Tempah jurusolek/juruandam untuk majlis perkahwinan anda
·          Mencari rumah baru, sama ada sewa atau membelinya.
·          Kenalpasti Jabatan Agama Islam, Pejabat Agama Islam Daerah atau badan-badan Islam (swasta) yang berdekatan dengan kawasan anda, untuk mendaftar kursus pra perkahwinan.

Bagi pengantin lelaki:
Semak semula jumlah sebenar wang hantaran yang dikenakan, (jika berlaku perubahan pada wang hantaran yang telah ditetapkan pada hari pertunangan anda) dan lain-lain hantaran.

LIMA BULAN SEBELUM perkahwinan:
Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
·          Menghadiri kursus pra perkahwinan di tempat dan pada tarikh yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam, Pejabat Agama Islam Daerah atau badan-badan Islam swasta.
·          Menempah tok kadi untuk majlis pernikahan anda.
·          Menempah videografi atau jurufoto untuk merakamkan detik-detik indah majlis perkahwinan anda.
·          Membeli cincin kahwin.
·          Tentukan sama ada anda ingin memasak sendiri atau menggunakan khidmat katerer. Jika ingin menggunakan khidmat katerer bincangkankan menu hidangan untuk majlis anda, serta harga yang ditawarkan.
·          Menyediakan senarai tetamu yang akan dijemput.
·          Menempah sekumpulan pemuzik dan DJ (jika perlu)
·          Lakukan rawatan muka, badan dan rambut.
·          Jika ingin berbulan madu (dalam negara atau luar negara), tentukan tempat dan budjet untuknya. Segerakan bayaran pendahuluan bagi mengelakkan tempat ditempah orang lain.

TIGA BULAN SEBELUM perkahwinan:
Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
·          Memilih dan mencetak kad jemputan kahwin.
·          Mengesahkan tempahan di hotel atau taman termasuk jumlah meja dan kerusi, menu dan sebagainya.
·          Melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital.
·          Rawatan intensif muka, badan dan rambut.

Bagi pengantin lelaki:
·          Memaklumkan kepada saudara-mara tentang hari berlangsungnya majlis pernikahan anda.
·          Mengenalpasti beberapa orang (saudara mara atau jiran-jiran) yang akan menyertai rombongan pihak lelaki.

Bagi pengantin perempuan:
·          Kenalpasti dua orang saksi untuk majlis pernikahan anda.
·          Bagi wanita yang kematian bapa, sila pastikan siapa wali nikah anda. Jika anda tidak mempunyai wali nikah, sila dapatkan wali hakim, dari mana-mana Jabatan Agama Islam untuk menikahkan anda.

DUA BULAN SEBELUM perkahwinan:
Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
·          Membeli barang kemas.
·          Tentukan pengapit anda, jika perlu carikan baju yang bersesuaian untuk pengapit anda.
·          Menghantar kad jemputan kepada para tetamu yang ingin dijemput.
·          Merujuk kepada Jabatan Agama Islam dan Pejabat Islam Daerah untuk proses mendaftar pernikahan anda.

TIGA MINGGU SEBELUM perkahwinan:
Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
·          Pastikan pakaian pengantin anda telah siap dan ambil pakaian tersebut jika anda telah berpuashati.
·          Pastikan ada seseorang yang akan menjaga barang-barang anda semasa majlis perkahwinan berlangsung.

Bagi pengantin perempuan:
·          Pilih gaya rambut yang anda ingini semasa majlis perkahwinan anda (bagi yang bertudung, pastikan gaya tudung yang akan dikenakan pada majlis perkahwinan anda nanti).

TIGA - SATU HARI SEBELUM perkahwinan:
Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
·          Menghias pelamin, bilik tidur pengantin, membuat sirih junjung dan lain-lain hantaran.
·          Sediakan seterika, papan seterika, cermin, jarum dan benang, bagi memudahkan anda jika berlaku kecemasan.
·          Jika perlu ingatkan tetamu anda tentang majlis perkahwinan anda melalui telefon.
·          Hubungi jurufoto, juruvideo dan lain-lain (kompang, silat dan sebagainya) anda dan minta mereka datang awal pada majlis tersebut.
·          Sediakan (packing) barang-barang yang perlu dibawa ke majlis tersebut. Elakkan melakukannya di saat-saat akhir kerana dikhuatiri ada barang yang tertinggal.
·          Mandi air panas bersama aromaterapi untuk kesegaran badan.
·          Tidur awal dan bersedia untuk menghadapi hari bahagia anda.

Bagi pengantin lelaki:
·          Tentukan siapa yang akan menjadi jurucakap bagi rombongan pihak lelaki dan tuan ruamh pada majlis pernikahan.

Bagi pengantin perempuan:
·          Hubungi hair dresser anda dan minta mereka datang awal pada majlis tersebut.
·          Kenalpasti siapakah yang akan ditugaskan untuk menyambut tetamu pada hari perkahwinan anda. (begitu juga bagi majlis di pihak lelaki)

PADA HARI PERNIKAHAN:
Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
·          Pastikan anda membawa kad pengenalan, gambar, dan apa-apa dokuman yang diperlukan semasa majlis ijab dan kabul .

Bagi pengantin lelaki
·          Pastikan anda telah menyediakan wang mas kahwin pada hari pernikahan anda.
·          Pastikan wang hantaran (terutamanya wang tunai) diamanahkan kepada orang yang boleh dipercayai.
·          Pastikan anda telah menyediakan wang (upah) untuk diberikan kepada tok kadi.
·          Cincin / gelang tangan / rantai.
·          Sirih junjung dan lain-lain hantaran.
·          Pihak lelaki dan pengiring mestilah datang lebih awal sekurang-kurangnya setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan.
·          Pastikan mereka yang menjadi saksi dan wali turut ada pada majlis pernikahan tersebut.
·          Pastikan tok kadi yang akan menikahkan anda, telah diberitahu lebih awal tentang hari pernikahan anda.
·          Pada malam majlis pernikahan, majlis persalinan baju (jika perlu) diadakan. Pakaian yang biasa dipakai ialah baju yang menjadi kebanggan sesebuah negeri seperti baju Sari, Cheongsam, Minangkabau, Jawa, Mendaling dan lain-lain.

PADA HARI PERKAHWINAN:
Bagi pengantin lelaki dan perempuan:
·          Ambil sarapan seawal tujuh pagi, bagi mengelakkan anda lapar, mengantuk dan tidak bermaya.
·          Jangan takut untuk menghadapi hari bahagia anda. Bertenang dan sentiasa senyum.
·          Pastikan majlis anda berjalan lancar seperti yang telah dirancangkan.

Bagi pengantin lelaki:
·          Pastikan anda datang tepat pada masanya atau sekurang-kurangnya sepuluh minit awal dari waktu yang telah ditetapkan
·          Pastikan kesemua hantaran telah dibawa termasuk sirih junjung

Bagi pengantin perempuan:
·          Pastikan anda telah bersiap satu setengah jam lebih awal sebelum pengantin lelaki sampai ke rumah anda.

TIGA HARI SELEPAS perkahwinan:
Melawat keluarga dan sanak saudara kedua-dua pihak.

putripuzzle : let me be me

Doa untuk Ibu Mengandung

·         Doa untuk bayi dalam kandungan:
“Ya Allah, peliharalah anakku selama di dalam kandunganku dan sembuhkanlah segala penyakit. Sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh dan tiada sembuhan melainkan dengan penawar-Mu . ya Allah, lahirkanlah dari kandunganku ini dengan kelahiran yang mudah dan sejahtera. Ya Allah, jadikanlah anakku ini sihat dan sempurna, cerdik, berakal dan berilmu serta beramal soleh. Ya Allah, elokkanlah perangainya, fasihkanlah lidahnya dan merdukanlah suara untuk membaca al-Quran dengan berkat Nabi Muhammad saw”.

·         Doa memohon rahmat Allah:
“Ya Tuhan kami, janganlah jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk dan kurniakan kepada kami rahmat di sisi Engkau, kerana Engkaulah Maha Pemberi. Ya Tuhan kami, sesungguhnya engkaulah yang akan mengumpulkan manusia di akhirat untuk pembalasan, yang mana hari itu tiada keraguan lagi. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji” (surah Ali- Imran: 8-9)

·         Doa agar mendapat anak soleh/solehah:
“Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku seorang anak yang soleh. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar permohonanku” (Ali-Imran: 38)

Kepentingan anak soleh kepada sesebuah keluarga adalah sangat penting, kerana doa anak yang soleh sebagai penyambung pahala setelah ibu bapa meninggal dunia.
Sabda Nabi SAW, maksudnya “Apabila mati seseorang itu, terputuslah amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah, ilmunya yg di manfaatkan orang dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan untuk kedua ibu bapa mereka” (hadith Riwayat Muslim)

·         Doa ketika menanti saat hampir bersalin:

Ketika hampir bersalin atau sedang menunggu waktu bersalin, para ibu janganlah asyik risau atau menjerit kesakitan, tetapi eloklah di gantikan dengan wirid atau zikir atau doa. Sebaik2 doa dan wirid adalah seperti di bawah:

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah termasuk orang yang sentiasa menzalimi diri” (Al-Anbiya: 87)

Selanjutnya bacalah ayat kursi, surah al-ikhlas, surah Al- Falaq, An-Nas, berulang-ulang kali sehingga bersalin.

·         Doa setelah selamat/selesai bersalin:
“Aku memohon perlindungan dengan kalimat Allah yang sempurna daripada semua syaitan-syaitan dan binatang2 yang berbisa dan daripada pandangan mata jahat”

·         Doa untuk menghilangkan lemah-lemah dan sakit selepas bersalin:
“Ya Allah, sesungguhnya aku ini lemah, kuatkanlah aku. Sesungguhnya aku ini hina dan muliakanlah aku. Aku miskin dan berikanlah aku rezeki”

putripuzzle : let me be me